Friday, October 1, 2010

GANGSTERISME


APA ITU GANGSTERISME???


Samseng atau gangster merupakan seorang penjenayah yang bergerak dalam suatu kumpulan, kelompok atau geng. Samseng biasanya terbabit dalam pelbagai jenis jenayah terancang dari jenayah ringan seperti peras ugut sehinggalah ke jenayah bersenjata yang melibatkan jutaan ringgit. Gangsterisme pula adalah jenis salah laku yang sudah lama wujud di kalangan pelajar dan masih berterusan hingga kini. Keadaan menjadi bertambah serius apabila didapati semakin ramai pelajar perempuan dan murid sekolah rendah dikesan terlibat dengan gejala samseng yang dikenali sebagai gangsterisme.Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya. Berita Harian, 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun
antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kementerian Pendidikan dengan kerjasama polis telah mengenalpasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan gejala ini berada pada tahap yang membimbangkan .



KENAPA TERJADINYA GANGSTERISME???


a)      MASALAH KELUARGA :
Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang ketiadaan ibu bapa atau kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk menjadi bekalan kehidupan dewasa kelak sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamik. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya dalam pencapaian akademik serta proses pembentukan personaliti. Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja kehilangan arah panduan hidup mereka. Maka, lahirlah personalitiremaja yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya dan seterusnya menyumbang kepada pelbagai masalah sosial yang negatif.

b)      RAKAN SEBAYA :
Rakan sebaya banyak mempengaruhi remaja terutamanya kepada pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Rakan-rakan dapat mencorak personaliti individu tertentu. Justeru itu, ibu bapa patut tahu siapa rakan-rakan anak mereka, apa aktiviti mereka, di mana mereka berjumpa dan lain-lain persoalan lagi. Rakan sebaya memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai ataupun tidak di mata kumpulan masyarakat sekelilingnya. Contohnya, cara berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan sebagainya. Sekiranya kumpulan rakan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka remaja ini terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya kumpulan rakan sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan cenderung melakukan aktiviti-aktiviti yang negatif. Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya.

c)      MEDIA MASSA :
Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Di tambah pula dengan perkembangan teknologi pada zaman sekarang ini yang semakin canggih, bahan-bahan tontonan yang negatif mudah didapati daripada internet. Paparan adegan-adegan negatif yang berunsur ganas, lucah dan seram sedikit sebanyak telah mempengaruhi golongan remaja kita. Cerita-cerita di televisyen yang berunsurkan keganasan, seks, dan tahyul juga akan membawa kesan negatif kepada golongan remaja. Sebagai contoh masyarakat kita terutamanya golongan remaja akan terpengaruh dengan filem-filem bermutu rendah yang ditayangkan di stesen-stesen televisyen dan menjadi pemangkin kepada lahirnya budaya gangsterisme(samseng), dan sebagainya. Tidak hairanlah jika kes-kes juvana di negara kita meningkat tahun demi tahun. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling mereka tanpa memikirkan kesan atas tindakan mereka itu apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya.

d)     PERSEKITARAN :
Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Ada pula dilabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gangsterisme. Ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka. Ada ketua geng yang memberi kekuatan kepada remaja di kawasan tersebut untuk bergaduh kerana memastikan sokongan mereka serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gangsterisme. 

e)      DIDIKAN AGAMA :
Kekurangan didikan agama turut mendorong peningkatan aktiviti gensterisme. Secara umumnya, jika didikan agama kukuh di dalam diri individu, maka secara langsung ia boleh menghindar remaja tersebut dari terperangkap di dalam kegiatan gengsterisme. Keluarga yang kurang pendidikan ini juga boleh menyebabkan anak remaja mereka tidak terikat dengan nilai keagamaan serta pembentukan akhlak yang baik lantas terbabas ke dalam kumpulan bergeng ini. 



BAGAIMANA CARA UNTUK MENGATASINYA???



a)      TINDAKAN BUANG SEKOLAH :
Tindakan seperti buang sekolah boleh dilakukan bagi mengatasi masalah gangsterisme ini. Tindakan disiplin yang ketat dan berterusan perlu dilaksanakan di sekolah-sekolah agar menjadi pengajaran kepada pelajar terbabit dan pelajar-pelajar lain. Ini dapat mengurangkan penularan pengaruh pelajar yang bermasalah kepada pelajar-pelajar lain.


b)      PROGRAM KAUNSELING/BIMBINGAN DAN PEMULIHAN AKHLAK :
Pihak sekolah perlu menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk memantau kegiatan pelajar-pelajar yang terlibat dengan gangsterisme ini. Program bersepadu antara Unit Bimbingan Kaunseling dengan Badan Disiplin sekolah boleh bersatu dan bekerjasama untuk membendung pelajar-pelajar daripada terlibat dengan masalah gangsterisme. Badan disiplin yang ditubuhkan perlu diberi kuasa untuk merotan pelajar terbabit di hadapan semua pelajar supaya dapat memberi pengajaran kepada pelajar yang lain. Permuafakatan antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat juga penting bagi menghapuskan masalah gangsterisme ini.


c)      BIMBINGAN AGAMA DAN KAWALAN IBU BAPA :
Ibu bapa berperanan mendidik pelajar dengan cara berhemah. Ibu bapa perlu sentiasa memberi perhatian kepada anak-anak mereka supaya dapat mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu mengawal pergerakan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan masalah yang tidak sihat seperti gangsterisme. Asuhan dan didikan agama juga penting untuk menghindari perlakuan yang tidak berakhlak pelajar-pelajar dan remaja zaman sekarang ini.


d)     PERANAN KERAJAAN :
Kerajaan memain peranan penting menangani masalah gengsterisme ini. Tindakan keras perlu diambil supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko. 

No comments:

Post a Comment